Sabtu , 26 Julai 2014,

INFO NIKAH & PERKAHWINAN

Pekahwinan Selain Poligami / Wali Raja / Bawah Umur

1. Sebelum kebenaran kahwin diberikan, seseorang itu perlu mengambil langkah-langkah berikut:

  • Mendapatkan borang permohonan kebenaran berkahwin berharga RM 1.00 tiap satu daripada:
    • Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Bahagian Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam)
    • Pejabat Agama Daerah berdekatan
    • Mengisi segala maklumat yang dikehendaki dalam borang tersebut dengan lengkap dan sempurna serta pastikan bahawa kedua-dua pasangan yang hendak berkahwin itu tidak ada halangan dari segi syarat di samping mendapat persetujuan wali. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan kepada Pendaftar di daerah masing-masing pada tempoh yang lebih awal atau sekurang-kurangnya tidak lewat 1 minggu (7 hari) dari tarikh cadangan dilangsungkan perkahwinan itu.
    • Adalah sangat baik sekiranya wali dan pasangan terlibat serta saksi dapat hadir sama semasa mengemukakan borang permohonan kahwin tersebut bagi melicin dan memudahkan proses pertimbangan terhadap permohonan kebenaran kahwin tersebut.
  • Melampirkan kembaran-kembaran/perakuan-perakuan berkaitan:
    • 2 salinan kad pengenalan:
    • Sila sertakan perakuan dari pendaftar bagi Mukim atau Negeri di mana lelaki itu bermastautin jika lelaki tersebut tinggal di Mukim atau Negeri yang berlainan dengan pihak perempuan
    • Surat perakuan cerai yang sah yang dikeluarkan di bawah Undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa atau salinannya yang diperakui (disahkan benar) atau suatu perakuan yang diberikan oleh Hakim Syarie selepas penyiasatan yang wajar mengenai status kejandaan perempuan tersebut jika dia adalah seorang janda
    • Surat mati suami/isteri
    • Sijil / Perakuan menghadiri kursus pra perkahwinan
    • Perakuan status teruna/dara dari Majikan / Ketua Kampung / Penghulu Mukim / Imam Masjid / Akuan Sumpah
    • Keputusan ujian saringan HIV
  • Setelah berpuas hati Pendaftar boleh memberi kebenaran berkahwin dan pemohon dikehendaki menjelaskan bayaran sebanyak RM5.00 bagi maksud tersebut.
2. Akad Nikah
  • Bila boleh diadakan majlis akad nikah
    • Majlis akad nikah bagi sesuatu perkahwinan yang dicadangkan itu boleh diadakan setelah kebenaran berkahwin diberi atau diluluskan.

3. Tempat Majlis Akad Nikah Dilangsungkan

  • Majlis akad nikah boleh diadakan hanya di dalam mukim di mana pihak perempuan itu bermastautin mengikut kehendak Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu Bil 12 Tahun 1985, dan wajar jika majlis akad nikah itu dapat diadakan di rumah pengantin perempuan.
  • Majlis akad nikah boleh diadakan di luar mukim perempuan bermastautin sama ada di Terengganu atau di negeri lain dengan kebenaran Pendaftar atau Hakim Syarie (mengikut mana berkenaan) bagi negeri ini atau pihak berkuasa negeri di mana perempuan itu bermastautin jika perempuan tersebut berasal dari negeri lain.

4. Upacara Majlis Akad Nikah
  • Perkahwinan adalah dipandang tinggi di dalam Islam. Oleh itu adalah tersangat wajar majlis akad nikah dilangsungkan dengan penuh sopan bersendikan adapt dan nilai-nilai yang sesuai dengan Islam.
  • Garis panduan majlis akad nikah tersebut ada dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. (Sila ikuti panduan tersebut jika melangsungkan majlis akad nikah).

5. Orang Yang Boleh Mengakad Nikah

  • Bila boleh diadakan majlis akad nikah
    • Wali dengan kebenaran pendaftar
    • Seorang jurunikah bertauliah bagi kawasan berkaitan

6. Bayaran atas Perkhidmatan Kepada Jurunikah
  • Bayaran atas Perkhidmatan Jurunikah ditetapkan sebanyak RM60.00.

7. Pendaftaran Perkahwinan

  • Dalam masa 7 hari selepas akad nikah yang diadakan di negeri ini, perkahwinan itu hendaklah didaftarkan di bawah Enakmen ini.
  • Bagi perkahwinan dan akad nikah di luar Negara yang diadakan bukan di kedutaan hendaklah dibuat dalam masa 2 bulan selepas salah satu pihak atau kedua-dua pihak itu sampai di Malaysia.
  • Bagi perkahwinan yang diakad nikahkan di kedutaan Malaysia di luar Negara Pendaftaran perkahwinan hendaklah dibuat mengikut peraturan yang di akad nikah dan didaftarkan di Terengganu seperti pada (7) di atas.

8. Surat Akuan (Sijil Nikah / Ta’liq)

  • Selepas pendaftaran dan selepas dibayar RM20.00 bagi surat Perakuan Nikah (termasuk Ta'liq). Pendaftaran hendaklah mengeluarkan surat perakuan berkenaan dalam tempoh yang secepat mungkin.

9. Kad Akuan Nikah
  • Selain Surat Akuan / Sijil Nikah, pasangan yang berkahwin di Terengganu boleh memohon mendapatkan kad Akuan Nikah yang mudah dibawa ke mana- mana dan dikenakan bayaran sebanyak RM33.00.

 

Perkahwinan Poligami

1. Kebenaran berpoligami hendaklah dengan kelulusan bertulis dari Hakim Syarie mengikut ketetapan seksyen 21 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu Bil 12 Tahun 1985. dengan ini, pihak lelaki hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran berpoligami tersebut dari pihak Mahkamah Syariah Terengganu (sebelum mengemukakan permohonan berkahwin kepada Bahagian Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam atau Pendaftar Daerah) dan menjelaskan bayran di mahkamah sebanyak Rm50.00 (RM25.00 untuk kebenaran poligami dan RM25.00 untuk surat kebenaran poligami).
2. Setelah surat kebenaran berpoligami diperolehi maka pihak lelaki hendaklah melampirkan surat kebenaran tersebut di dalam borang permohonan kebenaran berkahwin bersama dengan borang permohonan kahwin perempuan yang menjadi pasangannya itu tidak lewat dari 1 minggu (7 hari) dari tarikh Akad Nikah diadakan.
3. Pendaftar akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan syarat-syarat yang sedia ditetapkan sama seperti permohonan kebenaran kahwin yang lain bagaimana dinyatakan dalam (1) hingga (10) di atas.