TAKLIMAT PENDAFTARAN URUSAN TURUNMILIK (PESAKA KECIL) DAN CONSENT
KUALA TERENGGANU, 7 Disember 2025 – DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mendengar Taklimat Pendaftaran Urusan Turun Milik (Pesaka Kecil) dan Urusan Consent bertempat di Bilik Mesyuarat UPEN I, Tingkat 13, Wisma Darul Iman.
Definisi “pusaka kecil” merujuk kepada harta peninggalan si mati (tanpa wasiat) yang terdiri daripada harta alih dan/atau harta tak alih dengan jumlah keseluruhan nilai tidak melebihi RM2 juta pada tarikh permohonan, selaras dengan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Pengurusan dan pembahagian pusaka kecil ini dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
Prosedur permohonan pusaka kecil bermula dengan permohonan oleh waris kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), diikuti peringkat pentadbiran di mana pegawai pentadbir pusaka menguruskan segala urusan harta, dan diakhiri dengan perintah pembahagian apabila semua urusan selesai bagi tujuan pengagihan kepada waris yang berhak.
Sementara itu, Urusan Consent pula merujuk kepada proses mendapatkan kebenaran daripada Pentadbir Tanah, Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi urusan pindah milik, gadaian, pajakan, sewaan dan lain-lain urusan berkaitan, tertakluk kepada sekatan kepentingan dalam hak milik tanah.




