Berita Utama

Liputan Rangkaian Telekomunikasi Negeri Terengganu Dipertingkatkan

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 
KUALA TERENGGANU, 17 FEBRUARI - Liputan rangkaian telekomunikasi Negeri Terengganu bakal dipertingkatkan apabila Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 telah dimulakan pelaksanaannya melalui mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Terengganu (JITNT).

Pengarah Negeri MCMC Terengganu, Zahari Ismail berkata bahawa empat syarikat telah dilantik oleh Kerajaan dibawah pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1.

Katanya, pelaksanaan projek ini terbahagi kepada dua peringkat yang mana peringkat pertama iaitu pembinaan infrastruktur menara dan aksesori akan dilaksanakan oleh Theta Telecoms dan FGV Prodata Systems; dan Peringkat kedua iaitu penyediaan sistem elektronik dan rangkaian perkhidmatan yang akan disediakan oleh Celcom dan Digi.

“Theta Telecoms dan FGV Prodata Systems masing-masing merupakan syarikat milik penuh Tabung Haji dan FGV Holdings.Syarikat-syarikat tersebut mahir dan mempunyai kepakaran dalam industri pembinaan menara telekomunikasi.

“Sebanyak 65 menara komunikasi baharu dan satu struktur komunikasi ‘repeater’ dijangka siap dibina pada penghujung Julai 2023 di bawah pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1 ini,” jelasnya.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh.

JITNT merupakan jawatankuasa yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Terengganu.

Ia berperanan dalam memantau dan memudahcara urusan kelulusan tanah bagi pelaksanaan projek telekomunikasi yang telah dirancang agar dapat dilaksanakan dan siap mengikut garis masa yang telah dipersetujui.

Sementara itu, Dr Mamad Puteh berkata bahawa pelaksanaan projek JENDELA dilihat boleh membantu memenuhi keperluan orang ramai dan mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Terengganu terutama dalam situasi pandemik yang membuktikan internet adalah antara keperluan yang sangat penting dalam kehidupan masa kini.

“Harapan saya adalah untuk memastikan penyediaan liputan jalur lebar talian tetap dan mudah alih yang dapat memberi perkhidmatan komunikasi yang berkualiti di seluruh negeri Terengganu terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujarnya.

Beliau juga menyarankan agar semua pengguna dapat mengakses portal JENDELA MAP (https://jendela.my) bagi membuat semakan liputan dan memberi maklum balas bagi kawasan-kawasan yang perlu ditambah baik bagi memastikan perkhidmatan komunikasi yang berkualiti dapat disediakan dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.-URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN.

Logo-Portal-Trg-01-white

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu


Penafian: Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web

Hits Pengunjung

Today 81

Week 3028

Month 18219

All 742044

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

MyGov MOF KSN
Mampu JPA SPA
BPA MSC KKM